Tuesday, April 27, 2010

Pandangan Peribadi II


- Adik Saya Bukan Penjenayah -
Tujuan posting ini bukan untuk komen sama ada murid yang mati tertembak oleh polis itu penjenayah atau tidak. Tetapi aku sekadar nak membetulkan kebiasaan [habit] anak muda kini [terutama 2 anak remaja lelaki aku] yang gemar "melepak" di luar [kedai mamak - untuk minum sambil tonton bola]. Mereka kerap bagi alasan bahawa mereka tidak terlibat dengan perkara yang menyalahi undang-undang, jadi aku tak perlu risau. Lagi pun "melepak" seperti itu telah menjadi "kebiasaan" di kalangan anak-anak remaja.

Walau pun telah banyak kali aku ingatkan dan memberi contoh-contoh yang bersesuaian, namun kebiasaan itu sukar dibuang. Bila hari cuti, masa siangnya [di rumah] dihabiskan dengan tidur. Selagi tidak dikejut [kadang-kadang simbah/jirus air] mereka tidak akan bangun. Tetapi apabila malam, segar pula sambil memberi pelbagai alasan untuk di benarkan keluar, walhal di rumah dah disediakan LCD 42in., ASTRO, sistem stereo dan "pembuat air teh tarik & neslo terbaik dunia & cun - Wan Anum".

Banyak kejadian buruk berlaku pada waktu tengah malam. - sama ada semasa "melepak" atau dalam perjalanan pergi/balik. Rasanya mereka belajar merokok pun pada waktu ini. Katalah berlaku pergaduhan di lokasi di mana secara kebetulan mereka sedang "melepak", pastinya mereka akan terkena tempiasnya. Orang ramai mungkin juga akan persoalkan, jika betul mereka anak yang baik, kenapa berada di luar rumah dan di luar kawalan ibubapa?

Aku rasa bukan aku seorang di Malaysia ni yang hadapi situasi seperti ini. Nak beri kebenaran dah melanggar prinsip diri, tak nak beri; kawan-kawannya dah tunggu di luar rumah.

No comments: