Wednesday, April 29, 2009

The BIGGEST loser

Rancangan TV [ASTRO] - realiti masa kini yang aku amat minat. Individu yang dapat kurangkan peratusan berat badan paling banyak dikira pemenang. Tiada undi dari penonton. Semua kemenangan adalah hasil usaha keras, strategi dan nasib setiap peserta.

Banyak pengajaran yang diperoleh daripada program ini. Selain belajar cara betul kurangkan berat badan, kita ditunjukkan cara berkesan untuk dapatkan tubuh dan minda yang sihat.
Dalam siri minggu lalu, terdapat dua orang peserta yang pada asalnya tidak dipilih untuk masuk "ladang latihan". Namun mereka berjaya kurangkan peratus berat badan lebih tinggi daripada peserta yang terpilih masuk dalam "ladang latihan"; dengan usaha keras sendiri seperti berjoging dan kawal pemakanan [tanpa tunjuk ajar jurulatih bertauliah]. Yang menariknya apabila diminta membuat tekan-tubi (push-ups), mereka tidak boleh lakukan walaupun sekali. Berbanding peserta dalam "ladang latihan", walaupun peratusan penurunan berat badan mereka rendah, mereka mampu untuk lakukan tekan-tubi berulang kali tanpa masalah.
Moral:
Ramai kalangan kita yang ingin kurangkan berat badan dengan cara yang salah. Kita hanya kurangkan makan tanpa lakukan sebarang bentuk senaman. Jika buat pun secara minima. Walau pun lakukan senaman [tanpa tunjuk ajar jurulatih bertauliah], hasil yang diperolehi tidak akan kekal.
Antara matlamat peserta untuk kurangkan berat badan;-
1. Tidak mahu mati muda seperti kenalan/saudara akibat penyakit berkait lebih berat badan.
2. Mahu lihat anak kecil mereka melangsungkan perkahwinan.
3. Benci diejek dan diperleheh
4. Mahu mampu bergerak bebas tanpa cepat penat
5. Mahu boleh pakai pakaian kegemaran seperti jeans
6. Mahu kembali kelihatan seksi
Disiplin diri peserta yang berjaya dalam program ini amat tinggi. Amat boleh dicontohi. Hasilnya ada peserta yang boleh buang 50% berat badan.
Nota kaki;
Yang tak bagusnya, aku tonton rancangan tu dengan kopi dan kuih di meja sambil bersandar di kerusi sambil pegang remote TV. (masih simpan hajat nak kurangkan berat badan juga!)

No comments: