Thursday, August 25, 2011

Masa Dulu-dulu 1

Semasa aku berumur 8 tahun famili aku tinggal di rumah "kilat" di belakang kompleks JARO [Johor Area Rehabilitation Organisation], yang kini telah menjadi sebahagian daripada SMK Sultanah Engku Tun Aminah [SETA]. Tiada bekalan eletrik dan sumber air dari mata air yang banyak terdapat di lereng bukit. Semasa itu bersekolah di SK Ayer Molek [darjah 2] dan di SK Tambatan Rendah [Darjah 3].

Selepas Maghrib, aku kena pergi mengaji di salah sebuah Kuarters yang terdapat di kawasan itu. Sambil tu tumpang tonton TV. Rancangan yang aku miat masa tu ialah "Hawai Five-O". Hingga kini bila dengar muzik intro rancangan tu aku terbayang ombak besar yang ditayangkan pada perulaan rancangan.

Semasa aku berumur 10 tahun kami berpindah ke tanah TOL di Kampung Skudai Kiri. Apabila air pasang, terpaksa "singsing" seluar/kain untuk balik rumah. Ada bekalan letrik. Mulanya kena ambil air dari paip umum yang terletak 1km dari rumah dengan menggunakan kereta sorong. Selepas ekonomi famili baik sedikit, arwah bapak pasang paip air. Yang kelakarnya, paip air tu jadi macam ampaian, sebab nak elak kena air masin sewaktu air pasang. Untuk "lepas hajat", guna "tandas gantung". Masa tulah juga aku belajar berenang dan mendayung sampan. Ada kalanya sewaktu air pasang besar [sehingga mencecah lantai rumah] aku menjadi "penyelamat" ayam-ayam yang terperangkap di bawah rumah.

TV pula masa tu masih hitam putih. Saluran TV dan ditetapkan. Masih tiada "remote". Saluran yang ada adalah Saluran 1 [RTM-TV1], Saluran 10 [RTM-TV2], Saluran 5 dan Saluran 8[RTSingapura]. Masa tu TV3 belum ada lagi. Hari Selasa malam Rabu sentiasa dinanti kerana akan "tumpang" tonton TV di rumah jiran. Rancangan yang ditonton adalah "Combat" yang dibintangi oleh Vic Morror. Masa tu tak terfikir macam mana heronya sentiasa dapat elak mati ditembak dalam setiap pertempuran.

No comments: