Wednesday, October 26, 2016

161023 Amirul Konvo

Jadual kebiasaan hujung minggu terpaksa diubahsuai untuk memberi ruang perjalanan ke Seri Iskandar dan seterusnya ke Tanjung rambutan, Perak. Akhirnya; anak ke-4, Amirul sah tamat pengajian di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah. Kecuali Farhana dan familinya yang terpaksa balik ke Kelantan, semua ahli famili kami hadir beramai-ramai untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah tersebut.


Sebelum ke Tanjung Rambutan, sempat bersarapan dengan Ismail & isteri di McD Tambun. Ismail sahabat lama yang sama-sama bertugas di Sekolah rantau PETRONAS dahulu. Anaknya sebaya dengan Amirul dan kebetulan sama-sama mendaftar di Politeknik Seberang Perai. 



Sebelum itu kami ambil kesempatan singgah dan bermalam di rumah Amalina. anak saudara yang tinggal di Seri Iskandar. Ini merupakan kali pertama aku menjejak kaki di situ. Sempat makan malam, bergunting rambut dan menonton perlawanan EPL antara Arsenal menentang Middlesbrough (agak kecewa dgn keputusan seri) semasa di sana.



Lain padang, lain belalang; 
Antara tugas utama aku adalah mengendalikan Majlis Konvo IPGM-KPM, jadi aku tidak dapat lari dari membandingkan perjalanan konvo Amirul dengan konvo yang biasa aku bertugas. Yang paling berbeza adalah persembahan nyanyian bersama kugiran sewaktu rehat antara penganugerahan diploma. Nyanyian adalah lagu-lagu popular semasa oleh  pelatih daripada Kolej Sungai Buluh. Jika Konvo IPGM-KPM pasti persembahan tersebut mendapat tentangan daripada pentadbiran tertinggi. 



Kod etika pakaian tetamu juga tidak terlalu dikuatkuasakan. Aku lihat ada tetamu yang hadir di dalam dewan dengan bersandal dan berseluar jeans. Namun pujian harus diberi kerana tiada tetamu yang keluar meninggalkan dewan sewaktu majlis berlangsung. Pintu keluar ditutup rapat dan dikawal oleh AJK bertugas. Aku dan isteri terpaksa menunggu hingga akhir majlis walau pun giliran Amirul mendapat diplomanya pada awal sidang.





No comments: